Monday, February 07, 2005

Kenapa Open-Source? - Bahagian I

Di laporkan bahawa kos perbelanjaan kerajaan dalam pendidikan pada tahun 2000 adalah RM14.8 billion. Perbelanjaan itu seterusnya bertambah sehingga RM18.6 billion. Untuk peringkat pertama perlaksanaan projek ‘smart school’ yang merupakan dibawah projek aplikasi MSC, kos untuk hanya 90 buah sekolah menjangkau sehingga RM300 juta. Ini bermakna bahawa RM3 juta diperuntukkan untuk setiap satu sekolah dalam tempoh masa 3 tahun. Ini hanyalah kos untuk 90 buah sekolah. Laporan terkini bilangan sekolah diseluruh Malaysia ialah 8,858 buah sekolah. Dalam jumlah itu, 3,085 buah sekolah mempunyai fasiliti komputer manakala hanya 1,298 mempunyai fasiliti lengkap dengan kemudahan internet (Kementerian Pendidikan, 31 Januari).

Berdasarkan bajet 2003, RM29.6 billion atau 27% diperuntukkan kepada sektor pendidikan. Peruntukan ini merupakan angka yang terbesar sekali pernah direkodkan dalam sejarah bajet kerajaan Malaysia.


Kos Memperoleh Lesen Microsoft


Kajian Kes 1: Projek Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris


Kerajaan Malaysia telah membayar Microsoft Corporation jumlah sebanyak RM15 juta untuk perisian MS Office dan Windows XP Profesional untuk projek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris pada tahun 2002. Pada tahun 2004, kerajaan telah membayar jumlah sebanyak RM12 – RM15 juta lagi kepada Microsoft untuk projek yang sama akan terus membayar amaun yang sama untuk tempoh 4 tahun lagi. Maka dianggarkan kos yang dibayar kepada Microsoft untuk sepanjang tempoh projek ini ialah sebanyak RM100 juta. Proses pusingan atau ‘cycle process’ ini akan terjadi semula apabila Microsoft mengnaiktarafkan sistem operasinya. (Open Source R&D, 2004 MIMOS Bhd)


Kes Kajian 2: Projek Makmal Komputer Sekolah


Kerajaan Malaysia telah membayar Microsoft jumlah sebanyak RM25 juta untuk projek makmal komputer sekolah pada tahun 2001. Jumlah ini untuk perisian MS Office Professional, MS2000 Server, 5 User CAL OPLA, dan Windows 98. Amaun yang sama juga telah dibayar pada tahun 2002 dan 2003. Jumlah keseluruhan pembayaran kepada Microsoft untuk projek yang sama dianggarkan sebanyak RM150 juta. Di bawah SSO (Shared Service Outfit), kerajaan akan terus membayar Microsoft sebanyak RM500 juta ke atas pelbagai perlesenan produk Microsoft dalam tempoh tiga tahun akan datang dalam proses mengubah kepada sistem komputer untuk agensi kerajaan. (Open Source R&D, 2004 MIMOS Bhd)


Setelah meneliti kedua-dua kajian kes tersebut, dapat dirumuskan bahawa kerajaan telah dan akan membayar jumlah wang yang terlalu banyak untuk perisian komputer. Amaun yang disebutkan itu belum lagi meliputi kos untuk perkakasan yang digunakan dalam pelbagai agensi kerajaan. Oleh itu, salah satu alternatif lain yang dicadangkan ialah dengan menggunakan perisian open source.